Pemeriksaan awal cara terbaik cegah barah payu dara

Oleh Dr Jamaludin Yushak
Pakar Bedah Am

TIDAK dinafikan seseorang wanita itu akan berasa gementar dan gundah apabila diberitahu, wujud ketumbuhan pada payu dara mereka. Dalam fikiran mereka pasti tergambar kemungkinan mereka menghadapi barah payu dara.

Barah payudara adalah barah yang paling kerap berlaku di kalangan wanita sebaik saja meningkat usia 20 tahun ke atas di Malaysia.

Penyakit itu paling kerap terjadi di kalangan wanita kaum Cina, diikuti India dan Melayu. Barah payu dara menyumbang 31 peratus daripada jumlah kes barah yang menyerang wanita pada 2003 dan 30.4 peratus pada 2002.

Bagaimanapun, bukan semua ketumbuhan pada payu dara itu barah kerana kajian menunjukkan antara 80 hingga 90 peratus adalah ketumbuhan biasa. Oleh kerana barah payu dara adalah satu penyakit utama di kalangan masyarakat dunia yang mengakibatkan kesengsaraan dan kematian, setiap ketumbuhan pada payu dara mesti dianggap barah sehingga terbukti secara saintifik ia bukan penyakit yang digeruni wanita itu.

Untuk membezakan dengan tepat antara ketumbuhan biasa (benign tumour) dan barah payu dara secara fizikal adalah sukar. Hanya dengan membuat kajian cytologi (kajian sel) saja dapat memastikan sesuatu ketumbuhan itu barah atau sebaliknya.

Antara 80 hingga 90 peratus ketumbuhan pada payu dara adalah ketumbuhan biasa yang bukan barah. Ketumbuhan biasa (benign tumour) yang boleh berlaku pada payu dara termasuk:

  • Fibroadenoma – ketumbuhan ini kerap berlaku di kalangan wanita muda. Permukaannya licin dan mungkin berbonjol. Ia bergerak di sekitar payu dara apabila ditekan.
  • Fibrocystic mastopathy – biasa berlaku di kalangan wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun yang belum putus haid. Besarnya berbeza berdasarkan pusingan haid dan bertambah besar dan sakit apabila menghampiri haid. Berdasarkan sifat percambahan sel epithulium, ia berisiko berubah menjadi barah.
  • Sista – ia adalah biji yang mengandungi air. Kebanyakannya tidak berbahaya melainkan biji yang mengandungi darah.
  • Fat necrosis – berpunca daripada kecederaan pada payu dara yang menyebabkan sel lemak payu dara mati dan membentuk kumpulan biji keras. Agak sukar untuk dibezakan sama ada penyakit itu barah atau sebaliknya selain dengan kajian sel histologi.

  • Bisul (breast abcess) – selalunya tidak sukar untuk membezakan bisul dengan barah. Bagaimanapun, ‘antibioma’ iaitu bisul menjadi benda pejal jika dirawat secara konservatif. Ia lebih menyukarkan untuk membezakan bisul dan barah.

    Mengenali perbezaan antara ketumbuhan barah dan ketumbuhan bukan barah

    BEBERAPA petunjuk mungkin dapat memberikan gambaran kasarnya sama ada ketulan pada payu dara itu berbahaya atau sebaliknya. Antaranya risiko individu untuk diserang barah, sifat fizikal ketumbuhan itu dan faktor genetik. Semakin banyak petunjuk yang positif semakin besar kemungkinan ia adalah barah.

    Mengetahui faktor risiko akan menentukan sama ada individu itu perlu atau tidak melakukan pemeriksaan saringan. Sekiranya individu tidak mempunyai faktor risiko, tidak bermakna individu selamat. Barah payu dara tidak boleh dicegah dan strategi utama adalah pengesanan awal dan melakukan rawatan sebelum barah itu merebak.

    Berikut adalah faktor barah payu dara yang dikenal pasti:

    1. Jantina

    Barah payu dara adalah penyakit membabitkan wanita (95 peratus daripada kes barah payu dara adalah di kalangan kaum wanita).

    2. Umur

    Usia meningkat semakin tinggi risiko. Wanita yang berumur kurang daripada 25 tahun jarang sekali berhadapan dengan barah payu dara.

    3. Geografi

    Barah payu dara lebih kerap ditemui di negara Barat jika dibandingkan dengan negara Asia atau Afrika.

    4. Riwayat barah payu dara

    Sekiranya individu itu pernah menghidap barah payu dara, risiko ia akan berulang meningkat empat kali ganda.

    5. Keluarga dan faktor genetik

    Sekiranya seorang wanita itu mempunyai ibu atau adik beradik perempuan (waris perempuan terdekat) yang pernah menghidap barah payu dara pada usia yang agak muda, risiko ia akan menghidapi barah payu dara akan meningkat dua kali ganda dan risiko ini akan meningkat empat kali ganda sekiranya dua atau lebih waris terdekat menghidapi barah payu dara.

    Untuk lelaki, risikonya tetap ada sekiranya bapa, adik beradik lelaki atau anak lelaki menghidap barah payu dara. Saudara mara seorang lelaki yang menghidapi barah payu dara mempunyai risiko tinggi. Ada laporan yang mengatakan 60 peratus lelaki pengidap barah payu dara mempunyai saudara wanita yang menghidapi barah payu dara. Usia mereka ketika menghidapi barah penting diketahui.

    Hanya lima hingga 10 peratus saja wanita yang menghidap barah payu dara mempunyai faktor genetik.

    6. Riwayat penyakit payu dara

    Ini meliputi semua keadaan di mana ada sel abnormal. Wanita yang memiliki sel agak abnormal ialah hiperplasia atypical yang mempunyai kadar risiko empat kali gindividu menghidap barah payu dara. Begitu juga dengan penyakit fibrosistik atau penyakit proliferatif.

    7. Riwayat haid

    Sekiranya seorang wanita baligh pada usia sebelum 12 tahun atau putus haid selepas 55 tahun, risiko dia menghidapi barah meningkat dua atau tiga kali ganda. Ini berkaitan dengan fasa kesuburan dan pendedahan terhadap pengaruh hormon oestrogen.

    8. Jumlah anak

    Seorang wanita yang tidak mempunyai anak atau tidak pernah hamil selepas umurnya 30 tahun mempunyai risiko tinggi menghidapi barah payu dara. Ini mungkin ada kaitan dengan pusingan haid yang tidak terganggu.

    9. Status sosio ekonomi

    Status sosio ekonomi tinggi akan meningkatkan risiko barah payu dara. Ini berkaitan dengan usia ketika baligh, usia ketika putus haid, usia ketika hamil anak pertama dan juga pemakanan.

    10. Pemakanan

    Pemakanan dikatakan mempengaruhi kadar barah di beberapa negara. Bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa kaitan antara kadar barah payu dara dan pemakanan adalah lemah atau tidak secara langsung. Pengambilan minuman beralkohol membuktikan peningkatan risiko antara 1.4 hingga 2.0 kali gindividu.

    11. Saiz tubuh

    Wanita yang gemuk selepas putus haid mempunyai risiko yang meningkat untuk alami barah payu dara. Ini kerana lemak mengandungi oestrogen sekali gus wanita seperti ini mempunyai paras oestrogen lebih tinggi

    12. Penyusuan

    Kajian menunjukkan bahawa tidak ada kaitan antara penyusuan dan barah payu dara. Penyusuan tidak memberi perlindungan kepada wanita.

    13. Pil perancang dan terapi hormon gantian (THG)

    Pengambilan pil perancang pada jangka masa yang lama dikaitkan dengan peningkatan risiko dalam lingkungan 1.2 kali ganda. Rawatan hormon gantian (THG) dalam bentuk campuran oestrogen dan progestogen sering diberikan. Dos oestrogen yang diberi adalah rendah dan risiko barah akan meningkat 1.8 kali ganda hanya selepas penggunaan selama lima tahun. Selepas itu, risiko meningkat 2.6 kali ganda.

    14. Pendedahan radiasi

    Pendedahan radiasi seperti sinar-X ketika usia atau sebelum usia 30 tahun boleh meningkatkan risiko terhadap barah payu dara tetapi pendedahan seperti ini jarang berlaku.

    Pemeriksaan payu dara

    Pemeriksaan payu dara boleh dilakukan oleh pengamal perubatan atau individu itu sendiri. Tiada siapa yang lebih arif akan badan seseorang melainkan individu itu. Adalah digalakkan setiap individu membuat pemeriksaan payu dara sendiri setiap bulan.

    Bagaimana melakukan pemeriksaan sendiri payu dara?

    1) Berdiri di hadapan cermin, bercekak pinggang dan perhatikan –

  • Kedudukan dan rupa kedua-dua payu dara
  • Bonjol atau lekuk
  • Permukaan kulit dan warnanya
  • Rupa dan kedudukan puting

    2) Dengan berdiri, urut payu dara dengan hujung jari yang rapat dan rata.

    3) Ulangi pemeriksaan itu dengan berbaring

    4) Bahagian ketiak patut juga diberi perhatian dan urutan bagi memastikan ia normal atau tiada ketulan

    Diagnosis

    Kebanyakan ketumbuhan bersaiz lebih satu sentimeter. Ia boleh dapat dirasai dengan pemeriksaan sendiri. Kadang kala kesukaran untuk merasai ketulan berlaku disebabkan tidak banyak perbezaan konsistensi antara ketulan dan tisu payu dara kelilingnya atau kedudukannya yang terlalu dalam.

    a) Mamogram dan ultrasound

    Kebiasaan saiz yang kurang daripada satu sentimeter sukar untuk dirasa. Dalam keadaan begini

    ultrasound atau mamogram dapat membantu mengenal pasti kewujudan ketulan itu.

    Apabila pemeriksaan fizikal tidak memberi kepastian mengenai ketumbuhan pada payu dara, disebabkan saiz yang terlalu kecil atau kedudukannya yang dalam, ultrasound atau mamogram dapat menyelesaikannya.

    Bagi individu yang mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kanser payu dara, menjalani pemeriksaan berkala mamogram adalah digalakkan.

    Mamogram disarankan dibuat bermula pada umur 35 tahun. Ia perlu diulangi dua tahun sekali antara usia 40 hingga 50 tahun dan setahun sekali selepas 50 tahun.

    b) Ujian darah (CA153)

    Ujian darah juga boleh dibuat bagi mengkaji kewujudan barah payu dara (CA153). CA153 adalah sebahagian daripada ujian pakej pemeriksaan darah, namun ia bukanlah cara serta kaedah pengesanan yang berkesan. Ia sekadar dapat mengenal pasti tujuh peratus daripada mereka yang menghidapi penyakit barah payu dara pada tahap yang awal.

    Kadar CA153 adalah tinggi di kalangan 90 peratus daripada pesakit barah payu dara pada tahap yang keempat. Mungkin CA153 berguna untuk melihat tindak balas pesakit tahap keempat terhadap rawatan barah payu dara mereka.

    c) Pemeriksaan Genetik – BRCA1 & BRCA2

    Satu lagi kaedah pengesanan adalah pemeriksaan genetik – BRCA1 & BRCA2. Ujian ini bukanlah kaedah yang mudah dan dapat digunakan pada setiap wanita. Pemeriksaan serta ujian kepada faktor kerosakan genetik (genetic defect) yang dikaitkan dengan penyakit payu dara ada waktunya berupaya membantu tetapi ada ketikanya sebaliknya.

    Sekiranya pemeriksaan menunjukkan hasil keputusan negatif, individu pastinya akan berasa lega serta terlepas daripada kebimbangan menghidap penyakit itu. Apabila keputusan pemeriksaan adalah positif, ia juga tidaklah bermaksud seseorang wanita itu akan menghidap penyakit ini secara mutlak. Bagaimanapun, wanita itu mungkin ditenggelami perasaan risau yang berlebihan atau pun cemas.

    Memang sudah diketahui umum bahawa kaedah pengujian BRCA tidak berupaya untuk mengesan sebanyak 20 peratus daripada tabiat ‘keluarbiasaan’ gen. Ini bermakna sesebuah pengujian yang menunjukkan hasil yang negatif turut mempunyai kemungkinan mengandungi gen mutan.

    d) Pemeriksaan sel tisu – `Fine Needle Aspiration Cytology’

    Untuk membezakan dengan tepat antara ketumbuhan benign dan barah payu dara secara fizikal adalah sukar. Hanya dengan membuat kajian sel saja dapat memastikan sesuatu ketumbuhan itu barah atau sebaliknya.

    Pada suatu masa dulu kajian ini dilakukan dengan jarum `Tru-Cut’ yang agak besar dan menyakitkan. Bagaimanapun, kini kajian dilakukan dengan jarum biasa dan kecil tidak memerlukan pembiusan.

    Di tangan pakar kaji penyakit yang mahir, hasil ketepatan diagnosa menghampiri 100 peratus.

  • This entry was posted in Diagnosis. Bookmark the permalink.

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s