Gempa jejas internet

Jumaat, 29 Disember 2006
Gegaran di barat daya Taiwan rosakkan kabel dasar laut APCN2
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan internet antarabangsa termasuk di Malaysia mengalami gangguan teruk apabila kabel dasar laut Asia Pasifik Rangkaian 2 (APCN2) terputus ekoran gempa bumi di barat daya Taiwan, kelmarin.

Berikutan itu, lebih 3.8 juta pelanggan internet di negara ini mengalami kesukaran melayari laman web yang berpangkalan di luar negara, terutama Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan dan Eropah.

Kerosakan kabel di persisiran pantai selatan Taiwan itu turut mengganggu 98 peratus daripada kapasiti perkhidmatan telefon kepulauan itu dengan Malaysia, Singapura, Thailand dan Hong Kong.

Telekom Malaysia Bhd (TM), dalam kenyataan semalam berkata gempa bumi di Taiwan itu mengakibatkan kerosakan sistem kabel dasar laut termasuk APCN, APCN2, SEA-ME-WE3, CUCN dan FLAG.

Kerosakan itu menyebabkan perkhidmatan panggilan antarabangsa ke Taiwan, Jepun, China, Hong Kong, Korea dan Amerika Syarikat terjejas.

“TM sedang bekerjasama dengan ahli konsortium untuk melaksanakan kerja membaik pulih. Bagaimanapun, setakat ini, konsortium masih tidak dapat menentukan tempoh masa untuk perkhidmatan pulih sepenuhnya,” katanya.

Syarikat itu menasihatkan pelanggan yang ingin membuat panggilan antarabangsa supaya menghubungi perkhidmatan bantuan operator TM di talian 101.

TM Net Sdn Bhd pula memaklumkan, perkhidmatan internetnya mengalami gangguan prestasi berikutan sambungan talian sesak dan melampau di beberapa jaringan internet antarabangsa semalam.

Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata ia sudah mengambil tindakan segera dengan mengalih laluan trafik ke jaringan sokongan lain bagi mengurangkan kesesakan.

“Pengguna internet di Malaysia dan bahagian lain di negara ini mungkin mengalami sedikit penangguhan dalam mengakses kandungan laman web berpangkalan di luar negara, terutama di AS, Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan dan Eropah,” katanya.

TM Net menjelaskan, gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter di pantai selatan Taiwan malam kelmarin menyebabkan gangguan pada kabel APCN2 antara Shantou, China dan Tanshui, Taiwan serta Lantau, Hong Kong dan Chongming, China.

“Ia menyebabkan sambungan internet yang melampau pada talian internet TM Net International secara sambungan transit atau pemula, terutama ke negara yang disebutkan,” katanya.

Pelanggan boleh menghubungi Pusat Interaksi Pelanggan TM Net di 1-300-88-9515 (24 jam) atau 1-300-88-1515 dari 8 pagi hingga tengah malam atau e-mel ke custcare@tm.net.my untuk pertanyaan lanjut.

JARING Communications Sdn Bhd pula berkata talian antarabangsa syarikat itu turut terjejas bermula jam 3.46 pagi semalam dan ia sedang berurusan dengan pihak pembekal talian antarabangsa untuk menyegerakan proses membaik pulih.

“Bagaimanapun, jangka masa proses untuk mengembalikan operasi talian itu tidak dapat ditentukan lagi,” kata Pusat Operasi Rangkaian JARING dalam kenyataan di laman webnya.

Gangguan perkhidmatan internet juga menyebabkan sebahagian besar pengusaha kafe siber menutup perniagaan, manakala pengguna internet syarikat korporat gagal menghantar emel atau melayari laman web.

Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Adelina Iskandar, ketika dihubungi berkata, pihaknya meningkatkan pemantauan dan menunggu laporan TM Net dan JARING sebelum mengambil tindakan lanjut. TM Net mempunyai 2.85 juta pelanggan manakala JARING lebih sejuta.

Gempa bumi di pantai bandar Hengchun berhampiran selatan Taiwan itu berlaku pada hari ulang tahun kedua bencana tsunami yang meragut lebih 200,000 nyawa di selatan Asia.

Dalam kejadian kelmarin, dua sekeluarga dilaporkan maut apabila rumah mereka di bangunan empat tingkat runtuh manakala enam sekeluarga diselamatkan awal semalam.

Sementara itu, agensi berita AFP memetik penganalisis sebagai berkata, sistem telekomunikasi antarabangsa ketika ini menggunakan kabel dasar laut yang menyambungkan rangkaian hubungan antara negara di seluruh dunia bernilai berbilion dolar.

Penganalisis telekomunikasi bebas, Paul Budde berkata, laporan awal mendapati kabel dasar laut itu ditanam sejak 150 tahun lalu untuk penghantaran telegram dan kini berkembang sebagai talian internet bagi menepati kehendak teknologi semasa.

Di TAIPEI, Naib Pengurus Besar Chunghwa Telecom Co, Lin Jen-hung.

Syarikat telefon terbesar Taiwan itu berkata, kerosakan kabel itu menyebabkan talian telefon dan perkhidmatan internet terganggu ke beberapa bahagian di China, Korea Selatan, Jepun, Asia Tenggara dan AS.

Beliau yang dipetik AP berkata, usaha memperbaiki kabel itu mengambil masa sehingga tiga minggu tetapi ‘kualiti akan bertambah baik dari sehari ke sehari.

Syarikat telefon terbesar Taiwan itu berkata, kerosakan pada kabel di persisiran pantai selatan Taiwan itu turut menjejaskan perkhidmatan internet bagi sebahagian pengguna di Hong Kong yang tidak boleh melayari laman web di sebahagian kawasan di Asia dan AS.

Syarikat telefon Hong Kong, PCCW Ltd, yang turut menyediakan perkhidmatan internet, berkata beberapa kabel data di bawah laut rosak dalam gempa bumi itu.

“Perjalanan data ke Taiwan, Korea, Jepun dan AS terjejas,” kata PCCW dalam satu kenyataan.

Syarikat berkenaan juga memberi amaran kepada pengguna bahawa mereka mungkin mengalami kesesakan selama beberapa hari di internet kerana peningkatan penggunaan oleh ramai orang yang melayari laman web untuk mendapatkan maklumat mengenai gempa bumi itu.

Pedagang mata wang di Hong Kong – salah satu pusat perniagaan terbesar Asia, mengadu mereka hilang hubungan dengan Bloomberg LP, pembekal utama berita dan data mengenai pasaran saham.

Internet terputus atau amat lembap di Beijing, kata pegawai dari China Netcom, syarikat telefon kedua terbesar di China.

Perniagaan di beberapa bahagian lain bandar raya itu juga mengalami masalah melayari internet manakala rangkaian televisyen kerajaan, CCTV, melaporkan gempa bumi itu merosakkan kabel komunikasi bawah laut dari China ke AS dan dari Asia ke Eropah.

Ia berkata, syarikat telefon terbesar China, China Telecom Corp, menghubungi syarikat sejawatnya di AS dan Eropah untuk mencadangkan penggunaan satelit

 
Oleh Zainab Yatim dan Hanneeyzah Bariah Baharin
Copyright 2006 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved.
This entry was posted in News and politics. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s