Kes Nurin: Mayat dalam beg sah Nurin

Oleh Jalal Ali Rahim, Hardi Effendi Yaacob, Hanneeyzah Bariah Baharin, Ifwan Tun Tuah dan Nahar Tajri


GAMBAR (kiri): Mayat ditemui dalam beg, (kanan): Nurin Jazlin Jazimin.

Ujian DNA dapati 99.99 peratus sampel darah budak hilang sepadan ibu bapa

SHAH ALAM: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan sampel darah mayat kanak-kanak yang ditemui dalam beg pakaian di Taman Petaling Utama, Isnin lalu, sepadan dengan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu.

Keputusan ujian yang diperoleh polis pada jam 2 petang semalam itu, dimaklumkan kepada ibu bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman sejam selepas itu. Bagaimanapun kedua-duanya, yang dipanggil sekali lagi untuk membuat pengecaman mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), menafikan mangsa pembunuhan kejam itu adalah anak mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata Jabatan Kimia memaklumkan ujian DNA itu mendapati 99.99 peratus sampel darah kanak-kanak itu sepadan dengan sampel darah ibu bapa Nurin, yang diambil selepas proses pengecaman mayat kali pertama, Isnin lalu.

"Ujian DNA mengesahkan sampel darah itu mempunyai padanan. Sains sudah membuktikan identiti mayat itu. Apa lagi yang boleh kita buat kalau keputusan ini tidak boleh diterima keluarganya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, Khalid berkata, ujian susulan akan dijalankan bagi menentukan kesahihan identiti mayat kanak-kanak perempuan itu.

GAMBAR (kiri): Jazimin Abd Jalil dan (kanan): Norazian Bistaman.

"Kita sudah meminta ibu bapa Nurin serta kakaknya untuk diambil darah mereka bagi ujian selanjutnya. Ahli keluarga terdekat Nurin, termasuk datuk dan neneknya akan turut diminta membuat pengecaman.

Kita berharap semua pihak, terutama keluarga Nurin dapat memberi kerjasama penuh dalam usaha menyelesaikan kes ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis sudah mendapat petunjuk awal bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak itu.

"Kita sedang mengawasi seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di ibu negara.

Beliau yang enggan mendedahkan identiti suspek, berkata polis masih menjalankan siasatan dan belum dapat memastikan sama ada pembunuhan kejam itu dilakukan pembunuh bersiri.

"Kita sudah ada petunjuk dan maklumat serta sedang menjalankan siasatan. Setakat ini kita tahu hanya seorang yang terbabit dalam pembunuhan kejam kanak-kanak itu. Suspek juga masih berada di sekitar Lembah Klang," katanya

Musa juga berkata, ujian DNA kali kedua akan dilakukan terhadap ibu bapa Nurin bagi mendapatkan pengesahan mutakhir identiti mayat kanak-kanak itu.

"Identiti mayat itu belum dapat disahkan sebagai Nurin kerana menurut bapanya mangsa tidak mempunyai tanda lahir di paha kiri seperti pada mayat kanak-kanak itu. Saya sudah arahkan Ketua Polis Selangor (Khalid) membuat ujian DNA kali kedua dan keputusannya akan diperoleh dalam masa terdekat," katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, menjadi prosedur biasa bagi polis menjalankan ujian susulan bagi mengenal pasti identiti mayat yang tidak dikenali, terutama membabitkan kes jenayah, malah kes Nurin itu bukan yang pertama.

"Pernah berlaku kes sama sebelum ini membabitkan penyanyi, Along Spoon, yang mayatnya ditemui dalam guni di kawasan terpencil di Negeri Sembilan. Ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Along Spoon, tetapi keluarganya tidak dapat menerima hasil ujian itu," katanya.
Mengenai ketiadaan kesan suntikan (BCG) pada mayat kanak-kanak itu hingga timbul dakwaan kemungkinan mangsa warga asing, beliau berkata polis masih menunggu laporan lengkap perubatan dan penjelasan doktor berhubung perkara itu."

Ditanya sama ada ibu bapa Nurin akan dipanggil untuk disoal siasat, beliau berkata, tindakan itu bukan satu keperluan ketika ini, namun mereka akan diminta menjelaskan sebab mayat kanak-kanak itu dikatakan bukan anak mereka.

Difahamkan, bapa Nurin dipanggil ke Balai Polis Wangsa Maju, kira-kira 4.30 petang untuk memberi keterangan berhubung keengganannya menerima keputusan ujian DNA itu.

"Polis akan turut meneliti sama ada kes penemuan mayat kanak-kanak ini dan kehilangan Nurin mempunyai kaitan dengan ‘Lelaki Kucing’ yang terbabit dalam beberapa kes pencabulan kanak-kanak di Kampung Baru sebelum ini," katanya.

KRONOLOGI:

  • 20 Ogos – Nurin hilang ketika berjalan seorang diri ke pasar malam dekat rumahnya di Wangsa Maju
  • 24 Ogos – Media melaporkan kehilangan Nurin
  • 26 Ogos – Ganjaran RM5,000 ditawarkan kepada sesiapa yang memberi maklumat
  • 28 Ogos – Polis mengumumkan memanggil 30 individu memberi keterangan berhubung kehilangan Nurin dan kes diklasifikasikan sebagai culik
  • 29 Ogos – Polis mendapat petunjuk mengatakan Nurin ditarik masuk ke dalam sebuah van pada hari kehilangannya
  • 1 September – Keluarga Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, 5, yang pernah hilang di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur hujung Mac lalu, menasihati keluarga Nurin menubuhkan jawatankuasa bagi menyusun strategi mencarinya
  • 3 September – Polis menubuhkan pasukan khas mengesan Nurin
  • 3 September – Ganjaran kepada sesiapa yang memberi maklumat meningkat kepada RM8,000
  • 4 September – Ganjaran meningkat kepada RM13,000
  • 5 September – Nurin didakwa dilihat berada di Seremban
  • 5 September – Penemuan sebuah van putih di kawasan belukar di Jalan Klang Lama di sini, menggemparkan masyarakat yang menyangka ia mempunyai kaitan kehilangan Nurin
  • 10 September – Seorang budak perempuan berusia sembilan tahun merayau seorang diri di Taman Tasik Puteri, Rawang, disangkakan Nurin
  • 11 September – Hari ulang tahun ke-8 Nurin
  • 14 September – Ganjaran meningkat kepada RM26,000
  • 17 September – Mayat seorang kanak-kanak ditemui dalam beg pakaian di Petaling Jaya Utama tetapi ibu bapa Nurin menafikan kanak-kanak itu anak mereka berdasarkan pengecaman fizikal
  • 17 September – DNA ibu bapa Nurin diambil untuk diperiksa dan dipadankan dengan mayat itu
  • 20 September – DNA ibu bapa Nurin disahkan sepadan dengan mayat kanak-kanak berkenaan 

Hak Cipta Terpelihara 2007 – Berita Harian Sdn. Bhd.

This entry was posted in News and politics. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s