Trend berbuka puasa

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my


Makanan memenuhi meja atau mengunjungi tempat mewah benarkah perlu

DALAM setahun, hanya sebulan saja adanya bulan Ramadan. Bulan inilah yang menuntut umat Islam supaya berpuasa menahan lapar dan dahaga. Ada sesetengah orang berpendapat, bulan Ramadan paling sesuai untuk berjimat cermat dan mengawal diet makanan tetapi realitinya bulan inilah yang menyaksikan kemeriahan tersendiri masyarakat untuk menikmati juadah berbuka.

Selain berpeluang menikmati juadah yang enak-enak dan menyelerakan terutama yang dimasak di rumah, masyarakat juga tidak ketinggalan berkunjung ke bazar Ramadan, sekali gus menyaksikan ‘selera’ untuk membeli beraneka juadah mengikut cita rasa.

Bagi yang bercita rasa tinggi, pilihan berbuka puasa di hotel menjadi suatu kemestian dan agenda yang mengisi diari berbuka puasa di bulan Ramadan. Ironinya, kehidupan masyarakat semakin berubah dan corak perbelanjaan dan selera untuk berbuka di kalangan warga Malaysia semakin tinggi.

Tidak percaya? Lihat saja santapan juadah berbuka puasa di atas meja sebilangan besar warga kota bila tiba waktu berbuka. Selain nasi dan lauk pauk seperti ikan bakar, udang goreng berlada, sayur campur, ayam golek hinggalah kepada manisan dan minuman yang tidak terkira banyaknya.

Jikalau kita berkunjung ke bazar Ramadan seolah-olah tidak lengkap dan puas tanpa menjinjing dua tangan dengan aneka makanan dan minuman. Sekurang-kurangnya RM10 pasti dibelanjakan bagi memenuhi selera di bulan Ramadan.

“Sebenarnya, tidak saja berbuka di hotel boleh dianggap membazir, sedangkan kalau nak diikutkan memasak sendiri di rumah mahupun membeli juadah di bazar Ramadan juga sebenarnya boleh mencapai tahap membazir jika kita tidak mengawal perbelanjaan kita.

“Ada pula di kalangan masyarakat yang enggan menikmati semula juadah berbuka puasa ketika bersahur walaupun sebenarnya makanan itu masih elok dimakan. Ini adalah suatu pembaziran yang seharusnya dielakkan,” kata Perunding Motivasi dan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Prof Madya Md Izuddin Ali.

Kata beliau, tiada salahnya sesebuah keluarga untuk berbuka puasa sesekali di hotel jika berkemampuan selepas mengambil kira faktor harga serta juadah yang disediakan berpatutan dengan perbelanjaan.

Walaupun sesetengah hotel ada menyediakan surau untuk kemudahan masyarakat Islam untuk bersolat, Md Izuddin secara peribadi bimbang orang ramai menjadi leka untuk tidak ke terawih selepas itu, semata-mata untuk menikmati lebih lama juadah berbuka puasa di hotel.

Beliau berkata, amalan berbuka puasa di hotel sedikit sebanyak turut menjauhkan umat Islam untuk ke masjid sedangkan Islam sendiri menggalakkan umatnya berbuka puasa di masjid, sekali gus mengimarahkan suasana harmoni di bulan Ramadan.

“Usahlah terlalu kerap sehingga menjadikan suatu kebiasaan untuk berbuka di hotel terutama mengajar anak-anak untuk bermewah kerana tabiat sebegini boleh melentur mereka menjadi insan yang memilih dan bercita rasa tinggi.

“Sudahlah membazir, ada di kalangan masyarakat yang mengambil terlalu banyak makanan sedangkan mereka sebenarnya tidak mampu untuk menghabiskan semua itu,” katanya.

Md Izuddin mengulas kenyataan beberapa tokoh agama serta mufti mengenai amalan berbuka puasa di hotel dan restoran mewah sebagai satu gaya baru bagi warga kota yang dikatakan satu pembaziran dan bercanggah dengan syarak.

Kenyataan daripada beberapa tokoh agama turut menyebut amalan bermegah serta menunjuk-nunjuk ketika berbuka puasa juga tidak harus dilakukan.

Tokoh agama Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz dalam kenyataan sebelum ini menyebut amalan membazir di bulan Ramadan tidak digalakkan kerana Ramadan bukan pesta makanan yang membazir tetapi ia bulan berjimat cermat.

Abu Hassan berkata, amalan itu jelas bercanggah dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud ‘apabila salah seorang daripada kamu hendak berbuka puasa, hendaklah ia berbuka puasa dengan beberapa biji tamar.

Jika kamu tidak mendapati buah tamar, maka hendaklah berbuka dengan air.’

Adab berbuka puasa

1. Berbuka dengan buah tamar. Sekiranya tidak ada tamar, maka berbukalah dengan air.

2. Menyegerakan berbuka puasa dan melambatkan bersahur.

3. Bersahur. Apa yang membezakan puasa orang Islam dengan orang bukan Islam adalah sahur.

4. Menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan keji. Hendaklah kita sentiasa memelihara mata, telinga dan mulut kita.

5. Bersederhana ketika berbuka puasa. Makanlah sedikit apabila sudah tiba masa berbuka, dan segeralah menunaikan solat Maghrib. Sesudah Maghrib sambunglah kembali menjamu selera.

6. Lebih banyak bersedekah di bulan Ramadan.

Benarkah makan di hotel membazir?

TANGGAPAN yang amalan berbuka puasa di hotel dan restoran mewah sebagai suatu pembaziran, selain menjadi medan masyarakat untuk menunjuk-nunjuk mendapat reaksi berbeza daripada pengurusan hotel. Sambil menyifatkan bukanlah setiap hari masyarakat menikmati sajian di hotel, selain menawarkan kelainan sajian makanan dan aktiviti sepanjang Ramadan.

Pengurus Perhubungan Awam Hotel Hilton Kuala Lumpur, Zalia Shamsul, berkata tidak wujud istilah membazir berbuka puasa di hotel mahupun restoran mewah memandangkan pengunjung mendapat variasi berbeza menerusi hidangan dan suasana yang ditawarkan.

“Seperti di Hilton Kuala Lumpur, kami menyediakan lebih 100 juadah berbuka puasa, selain ditempatkan deretan khemah daripada pengaruh seni Timur Tengah, lampu, lilin dan turut diiringi dengan muzik tradisional yang ternyata cukup berbaloi dengan kos dibelanjakan pelanggan,” katanya sambil menyifatkan tidak salah sesekali berbelanja di luar untuk berbuka puasa.

Zalia berkata, kemudahan yang disediakan di hotel seperti ruang untuk menunaikan solat, selain keselesaan dan kepelbagaian juadah tempatan dan antarabangsa menjadi salah satu sebab mengapa ramai orang memilih untuk berbuka puasa di hotel.

“Hotel hanya menyediakan medium untuk orang ramai membuat pilihan, terpulanglah kepada individu sama ada hendak berbuka puasa di hotel atau sebaliknya,” katanya sambil menyifatkan bukan saja keluarga yang menikmati sajian berbuka puasa di sana sebaliknya syarikat korporat turut meraikan majlis berbuka puasa yang turut disertai kumpulan anak-anak yatim.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Pemasaran Hotel Concorde Kuala Lumpur, Julini Yusof, berkata tiada halangan untuk seseorang berbuka puasa di hotel asalkan mengikut kemampuan dan cita rasa mereka.

Beliau berkata, bukan saja pada bulan Ramadan, pengurusan hotel memang menawarkan pelbagai promosi makanan sebagai antara tarikan buat pengunjung menikmati juadah istimewa yang mungkin tidak dapat dinikmati di tempat lain.

“Seperti Tahun Baru Cina umpamanya, masyarakat Cina turut meraikan sambutan perayaan dengan mengadakan majlis yee sang. Bagi syarikat korporat pula, meraikan pelanggan dan kakitangan di hotel adalah suatu kemestian,” kata Julini yang menyifatkan kepelbagaian sajian makanan antara sebab mengapa ramai memilih untuk berbuka puasa di hotel.

Apa kata mereka

“SEHARUSNYA kita memang ditegah untuk membazir di bulan yang mulia ini. Amalan berbuka di hotel ternyata membazir, apatah lagi harga yang dikenakan pengusaha hotel ini terlalu mahal.” – Dr Qairul Irwan Hamli, 28, doktor perubatan.

“APA yang dinyatakan Mufti memang wajar sekali memandangkan kita dituntut untuk bersederhana di bulan Ramadan. Seeloknya biarlah berbuka di rumah yang boleh menjimatkan perbelanjaan. Bayangkan, bayaran bufet Ramadan yang dikenakan hotel sehingga RM75 untuk seorang. Bagaimana jika mereka yang berkeluarga? Tidakkah membazir dan membebankan. Lebih bermakna wang itu digunakan untuk membeli kasut atau pakaian.” – Mira Abu Bakar, 32, setiausaha.  

Hak Cipta Terpelihara 2007 – Berita Harian Sdn. Bhd.

This entry was posted in News and politics. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s