Kes Nurin: Polis kenal pasti suspek bunuh Nurin

Oleh Hardi Effendi Yaacob

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, kanak-kanak yang dilaporkan hilang hampir sebulan sebelum mayatnya ditemui disumbat dalam beg pakaian pada 17 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata suspek dikenal pasti berdasarkan lakaran wajah hasil maklumat awam, termasuk daripada seorang pemilik rumah sewa di Petaling Jaya yang dikatakan menemui suspek, kira-kira dua minggu sebelum mayat Nurin ditemui.

"Kami sedang memeriksa maklumat mengenai suspek dengan Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Kuala Lumpur. Malah, kami akan membuat perbandingan lakaran gambar suspek di Selangor dan KL dalam usaha memburu pembunuh Nurin," katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Nurin.

Suspek yang bekerja sebagai ‘orang tengah’ di sebuah agensi pelancongan di ibu kota, dikatakan ditahan di sebuah kedai kopi di sini, kira-kira jam 2 petang semalam, hasil maklumat rakannya yang mengesyaki lelaki itu mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan kejam Nurin.

Lelaki itu juga dikatakan mungkin terbabit dengan kes pencabulan dua kanak-kanak yang dilaporkan di Kampung Baru dengan menggunakan terung.

Menurut Bernama, lelaki itu yang berasal dari Segamat dan sudah bertunang dengan seorang penyambut tetamu di sebuah hotel di sini, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama IPD Petaling Jaya, malam tadi, bagaimanapun menafikan laporan Bernama dan menyifatkannya khabar angin.

"Jangan percaya khabar angin. Bagaimana saya mahu mengesahkannya sedangkan belum ada tangkapan dibuat berkaitan kes Nurin setakat ini. Siasatan masih diteruskan dan kita akan memanggil wartawan terbabit untuk mengetahui dari sumber mana maklumat itu diperoleh," katanya. Terdahulu, Khalid yang dihubungi Berita Harian mengesahkan hanya ada seorang suspek dalam kes pembunuhan Nurin dan identitinya sudah dikenal pasti. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata lakaran wajah suspek kes mencabul seorang kanak-kanak perempuan di Setapak, Ogos lalu dan ‘Lelaki Kucing’ di Kampung Baru, akan dihantar ke IPK Selangor bagi mengenal pasti sama ada kedua-duanya mempunyai kaitan dengan pembunuhan Nurin. Katanya, IPK KL sedang menyiapkan lakaran yang lebih jelas, termasuk untuk diedarkan kepada media bagi membantu mengesan kedua-dua suspek terbabit.

 
Hak Cipta Terpelihara 2007 – Berita Harian Sdn. Bhd.

This entry was posted in News and politics. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s