Internet siar krisis Pakistan

dipetik dari Berita Harian – 7hb Nov 2007


TERUS GADUH: Anggota polis bertolakan dengan peguam di luar mahkamah dalam satu bantahan anti-Musharraf, semalam.

Dua stesen televisyen hantar SMS suruh penonton layari laman web

KARACHI: Stesen televisyen swasta beralih kepada internet untuk menyiarkan kepada penonton yang dahagakan berita mengenai status darurat di negara itu.

Pihak berkuasa memotong kabel penyampai petang Sabtu lalu apabila mereka mula melaporkan mengenai Musharraf akan mengisytiharkan darurat – yang diumumkannya beberapa minit kemudian.

Sejak itu, kebanyakan rakyat sama ada memandang skrin kosong atau berita yang disiarkan oleh televisyen dikendalikan kerajaan.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian stesen swasta kembali beroperasi dengan internet dan penyiaran satelit.

"Berita kini adalah barang seludup di Pakistan dan dijual di pasaran gelap, kata Imran Aslam, Presiden Geo Television, rangkaian berita kabel paling luas di negara itu.

Geo menghantar khidmat pesana ringkas (SMS) ke telefon pengguna Ahad lalu untuk memberitahu mereka supaya melayari laman web http://www.geo.tv untuk mendapatkan pancaran secara langsung. Satu lagi rangkaian, ARY One, menghantar emel serupa, http://www.arydigital.tv.

Di ISLAMABAD, polis untuk dua hari berturut-turut semalam memukul dan menahan peguam yang menunjuk perasaan membantah pengisytiharan darurat, manakala kerajaan Presiden Pervez Musharraf selepas diberi tekanan oleh masyarakat antarabangsa berkata pilihan raya akan diadakan pada awal 2008.

Sementara itu, pemimpin parti pembangkang, termasuk Benazir Bhutto, walaupun mengecam perintah darurat itu masih tidak bertindak menggerakkan penyokong akar umbi untuk membantah pengisytiharan kerajaan itu.

Pasukan keselamatan di Islamabad terus mengadakan sekatan jalan berhampiran berhampiran istana presiden, bangunan Parlimen dan mahkamah tinggi, manakala di Karachi peguam diperiksa sebelum dibenarkan memasuki bangunan mahkamah berkenaan.

Lebih sedozen peguam yang melaung slogan “berambus Musharraf” dan membaling botol ke arah polis dipukul dan dihumban ke dalam trak polis di Multan.

Jumlah yang sama ditahan di perkarangan mahkamah tinggi di Lahore, tetapi tunjuk perasaan oleh lebih 200 peguam di Islamabad berlaku tanpa sebarang pertempuran dengan polis.

Sejak Sabtu lalu beratus-ratus peguam dan ahli politik ditahan pihak berkuasa.

Peguam Negara Malik Abdul Qayyum berkata semalam dewan undangan wilayah dan persekutuan akan dibubarkan pada 15 November dan pilihan raya akan diadakan pada pertengahan Januari seperti dijadualkan sebelum ini.

Di LONDON, Imran Khan, bekas pemain kriket terkenal dan kini pemimpin pembangkang sebuah parti kecil di Pakistan, menyiarkan kenyataan menerusi bekas isterinya mengatakan beliau bersembunyi selepas lari daripada perintah tahanan rumah.

Jemima Khan, bekas isteri Imran Khan, menyiarkan kenyataan mengatakan bekas suaminya mulanya dikenakan tahanan rumah di Lahore pada Sabtu lalu.

Imran berkata, anggota polis menggeledaj rumahnya dan mengasari anggota keluarganya. Beliau sempat lari sebelum anggota keselamatan kembali untuk membawanya ke penjara.

Katanya, beliau gusar akan menjadi sasaran kerajaan pimpinan Musharraf.

"Mereka menggunakan kekerasan terhadap peguam, pertubuhan hak asasi manusia, aktivis politik dan semua pemimpin pembangkang berpengaruh dipenjara. Polis menggeledah rumah saya dan mengasari keluarga saya," kata Imran.

Imran turut menuduh bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto, bekerjasama secara sulit dengan Musharraf selepas pulang ke Pakistan bulan lalu.

Katanya, Benazir turut menghadapi ancaman pihak berkuasa kerana kedudukannya turut diancam pihak kehakiman.

"Parti pimpinannya tidak diganggu langsung oleh pihak berkuasa," kata Imran yang memberi amaran bahawa tindakan Musharraf hanya meningkatkan sentimen pelampau.

"Apabila kamu menindas kuasa demokratik, satu-satunya cara menentangnya ialah menerusi tentangan keras," katanya. – AP/AFP

This entry was posted in News and politics. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s