LVR Pulih otot pelvik kendur

Oleh Hafizah Iszahanid

Wanita 50 tahun ke atas boleh jalani pembedahan ligamen

MASALAH wanita yang paling utama apabila melepasi usia melahirkan anak adalah kekenduran otot dan ligamen di sekeliling lantai pelvik. Faktor penuaan pula menjadikan keadaan lebih buruk.

Justeru, bukan sesuatu yang luar biasa apabila wanita pada usia begini selalu mengalami masalah dalam mengawal pundi kencing. Ini diikuti dengan penurunan keinginan seksual.

Memang masalah ini disifatkan sebagai masalah peribadi dan tersembunyi. Mungkin sikap dan budaya warga Asia yang selalu melihat seks sebagai taboo.

Bagaimanapun disebabkan terlalu peribadi dan rahsia, selalunya wanita yang kerap menjadi mangsa. Hilang kawalan pundi kencing menjadikan mereka selalu terkucil setiap kali bersin atau ketawa. Keinginan seksual yang menurun membuka jalan pada pasangan mencari pengganti apabila usia semakin meningkat.

Kerap kali usia dijadikan faktor untuk tidak lagi mementingkan keintiman suami isteri. Usia juga sering dikaitkan dengan masalah kelemahan otot lantai pelvik. Jalan mudah, pakai saja lampin pakai buang di pasaran. Atau lakukan senaman kemut sekerapnya.

Tahukah anda, senaman kemut tidak memberi kesan kepada sesetengah wanita? Malah, melakukan senaman kemut dengan teknik yang salah akan memburukkan lagi keadaan.

Wanita pada usia muda memiliki struktur tubuh yang kemas dan mantap. Tetapi pada setiap kali melahirkan anak, otot dan ligamen yang menyokong vagina akan mengendur.

Untuk kembali normal, ia mengambil masa yang panjang. Malah bukan rahsia, ada sesetengah otot dan ligamen langsung tidak pulih seperti asal.

Apabila menopaus, trauma melahirkan anak dan penuaan membuatkan otot lantai pelvik semakin kendur. Justeru, antara 27 hingga 58 peratus wanita menopaus mengalami masalah kekenduran otot dan ligamen yang serius. Keseriusan itu boleh membawa kepada rahim jatuh.

Sejak bertahun-tahun lalu, di negara jiran seperti Singapura pembedahan laser mengembalikan ketegangan otot lantai pelvik sangat popular.

Di Malaysia, prosedur yang dinamakan Laser Vaginal Rejuvenation (LVR) buat pertama kalinya diperkenalkan di Pusat Perubatan Sunway.

Mengimbas sejarah LVR, ia dirintis dan dipatenkan Dr David Matlock dari Beverly Hills, Los Angeles, Amerika. Ia dimulakan 12 tahun lalu dan sudah dibuat kepada ratusan wanita di Amerika dan 30 negara lain di dunia.

Disebabkan LVR begitu popular dan berkesan Dr Wong Chin Yuan, pakar perbidanan dan sakit puan mengambil inisiatif mempelajari dan mengamalkannya di Malaysia.

Sebelum ini prosedur yang hampir sama diamalkan di Malaysia. Bagaimanapun prosedur itu dianggap menyakitkan dan mengambil masa lama untuk sembuh.

Prosedur LVR yang mengambil masa satu setengah jam bertujuan memulihkan kelonggaran otot pelvis dan memberi kesan yang lebih segar dalam hubungan suami isteri.

“Pembedahan ini menggunakan laser, selamat dan tidak berdarah. Masa untuk pulih juga singkat. Selalunya sehari selepas prosedur, pesakit sudah boleh dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Tambahan kepada LVR adalah Designer Laser Vaginoplasty (DLV). Ia adalah sebahagian daripada prosedur kosmetik untuk memperbaiki struktur bahagian sulit.

Kata Dr Wong, penuaan dan melahirkan bayi juga meninggalkan trauma kepada struktur bahagian itu yang menimbulkan ketidakselesaan dalam berpakaian.

Biasanya prosedur LVR dibuat kepada wanita yang sudah melepasi usia melahirkan anak.

“Kerana ia adalah prosedur sekali seumur hidup biasanya wanita yang mendapatkan rawatan ini ialah wanita yang sudah melepasi usia melahirkan anak. Antara 50 tahun ke atas,”katanya.

Prosedur ini berharga antara RM8000 hingga RM20,000 bergantung pada kes.

Dr Wong berkata, setakat ini sambutannya sangat menggalakkan. Justeru, tidak hairan pembedahan begini turut menarik perhatian pengamal pembedahan kosmetik.

Justeru memilih pakar yang betul dalam mendapatkan hasil terbaik sangat penting. Seperti kata Dr Wong, selalunya pakar perbidanan lebih baik dalam menangani perasaan wanita dan menjadikan mereka berasa cantik!

FAKTA: LVR

  • Prosedur LVR pertama di Malaysia
  • Rawatan untuk wanita melepasi usia melahirkan anak
  • Pembedahan laser
  • Masa sembuh yang singkat dan selamat.
  • Kos antara RM8000 ke RM20000
  • Tambahan pada LVR adalah Designer Laser Vaginoplasty (DLV)

  • This entry was posted in Diagnosis. Bookmark the permalink.

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s