Raja CSI

Oleh Norakmah Mat Youb
norakmah@nstp.com.my


JENAYAH kini turut mengalami "perubahan" menjadi semakin canggih. Penjenayah semakin bijak menghilangkan "jejak" daripada dikesan pihak berkuasa. Berikutan itu tanggungjawab Unit Siasatan Tempat jenayah (CSI) Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin penting bagi mencari bukti untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

CSI menjadi elemen penting dalam setiap penyiasatan terutama membabitkan kes bunuh, rompak dan rogol, dilakukan mengikut kehendak sains forensik bagi memastikan setiap bahan buktinya kukuh.

Unit CSI Makmal Forensik PDRM yang diketuai Superintendan Amidon Anan sentiasa ada di setiap lokasi kejadian jenayah yang memerlukan khidmat mereka sehingga beliau digelar Raja CSI.

Gelaran yang diberikan di kalangan media itu terus melekat sehingga kini sejak mengendalikan proses kes rogol bunuh membabitkan jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar sehingga tertangkapnya penjenayah terbabit pada tahun Oktober 2000.

Selain itu, beliau juga mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi seperti kes rogol dan bunuh, Canny Ong, model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dan terbaru kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Dengan kepakaran dan kejayaan mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi, PDRM melanjutkan lagi perkhidmatannya selama setahun yang sepatutnya berakhir tahun lalu.

 

KETELITIAN penting ketika menjalankan siasatan.

"Saya manusia biasa yang bertanggungjawab menolong setiap manusia tidak kira hidup atau mati. Orang yang sudah meninggal dunia saya tolong dengan cara mencari bahan bukti di tempat kejadian bagi membantu polis mengesan individu yang melakukan jenayah itu," katanya.

Beliau berkata, bagi mengaitkan kehadiran penjenayah di tempat kejadian, banyak kaedah boleh digunakan termasuk mengesan cap jari dan bekas tapak kasut.

Namun katanya, kepintaran penjenayah seperti memakai sarung tangan untuk tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari turut memeningkan pihak berkuasa tetapi dapat diatasi dengan menggunakan kaedah asid deoksiribonukleik (DNA).

"Kaedah DNA sudah digunakan secara meluas dan melalui kaedah itu, banyak kes dapat diselesaikan. Dalam kes rogol, air mani perogol dapat dikesan menggunakan alat sinaran cahaya yang dipanggil ‘Polilight PL500.’

"Alat itu mengeluarkan dan mampu mengesan air mani dalam tempoh cepat dan tepat. Selain itu, alat berkenaan juga boleh digunakan untuk mengesan tompokan darah serta cap jari penjenayah atau mangsa. Tompokan air mani serta darah kering walaupun sudah berbulan lamanya dan dibiarkan begitu saja, boleh juga dikesan," katanya.

Menceritakan detik awal sebagai pegawai CSI, Amidon berkata, segala-galanya bermula ketika tragedi runtuhan kondominium Highland Towers, yang mengorbankan 48 nyawa dan menjadi kejadian paling menyayat hati di negara kita.

"Ketika itu teori sains forensik sama ada kajian DNA, pengumpulan maklumat di tempat kejadian dan analisis sains dipraktikkan bagi menyelesaikan pelbagai kes rumit yang dikendalikan pihak berkuasa.

"Dalam tragedi itu, saya ditugaskan membantu mencari mangsa yang tertimbus. Sejak itulah saya lebih mengenali kemajuan DNA dan pelbagai teori sains forensik yang sangat membantu dalam membuat pengecaman identiti mangsa," katanya.

Berdepan dengan Amidon, pasti kita tidak menyangka beliau sudah lali berhadapan dengan mayat dalam keadaan mengerikan dan mempunyai tugasan berat kerana beliau seorang yang sangat tenang dan suka melawak.

"Saya sentiasa mengingatkan pegawai CSI supaya ikhlas membantu mangsa ketika melakukan siasatan. Kerja dilakukan sepenuh jiwa, tidak sesekali dicampur-adukkan dengan pelbagai masalah lain dengan niat membantu menyelesaikan kes.

"Antara kes terbaru dan paling menyayat hati serta membuatkan jiwa saya meruntun hiba ialah pembunuhan Nurin Jazlin. Polis berusaha keras untuk mengesan pembunuhnya," katanya enggan bercerita lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan.

Amidon berkata, siasatan di tempat kejadian penting dan semua bukti perlu dikumpulkan walaupun sehelai bulu kerana dari situ boleh mengesan orang yang melakukan jenayah berkenaan.

"Dengan itu kita boleh membayangkan apa yang sebenarnya berlaku. Kebiasaannya, sebelum memulakan kerja pasti saya akan meminta kebenaran mangsa dengan niat menolongnya. Saya lebih suka berada di tempat kejadian kerana boleh menjiwai bagi membantu kerja," katanya.

Katanya, sebelum unit CSI diwujudkan dalam pasukan pihak berkuasa itu, memang sudah ada bahagian yang dipertanggungjawabkan menyiasat kes jenayah tetapi tidak terperinci sebagaimana unit ini yang diperakui pada peringkat antarabangsa.

Ditanya perbezaan unit CSI PDRM dan Forensik Patologi, Amidon berkata, unit itu hanya boleh melakukan kerja penyiasatan di lokasi kejadian berbanding pakar perubatan yang melakukan bedah siasat ke atas mayat yang dirujuk di hospital.

"Polis tidak boleh membedah mayat seperti pakar perubatan. Kami hanya mencari bukti dan punca kejadian berdasarkan siasatan di lokasi kejadian," katanya.

This entry was posted in Dimensi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s