Pengalaman indah redah lautan Krabi, Thailand

Oleh Irwan Shafrizan Ismail


PELANCONG menikmati keindahan Pulau Tup, Mo dan Kho di Separated Sea.

SEKIRANYA anda berkunjung ke Krabi, sebuah wilayah di Selatan Thailand yang di kelilingi lebih 130 pulau menghadap Laut Andaman, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman merentas tiga pulau kecil yang berada berdekatan antara satu sama lain dengan berjalan kaki.

Pengunjung hanya perlu ke lokasi yang dipanggil Thale Waek atau ‘Separated Sea’ untuk memulakan perjalanan merentasi tiga pulau berkenaan iaitu Tup, Mo dan Kho yang masing-masing berada pada jarak 300 meter ketika air laut surut.

Tidak dapat digambarkan perasaan ketika berada di tengah-tengah laluan, dengan keadaan air berada di bawah paras lutut sambil dipukul ombak.

Ketika menyusuri laluan air jernih dengan ombak perlahan menolak pasir pantai yang putih, fikiran penulis tiba-tiba teringat pada kisah Nabi Musa yang membelah lautan dan berjalan bersama-sama pengikutnya.

Pemandu bot pelancong, See Tho yang membawa penulis dan rakan media lain yang turut mengikuti penerbangan pertama AirAsia ke Krabi baru-baru ini, berkata air laut akan berada pada paras pinggang bagi ukuran orang dewasa ketika air pasang.

Perjalanan menaiki bot ke Thale Waek mengambil masa kira-kira 15 minit dari jeti di Ao Nang atau Teluk Nang. .

Perjalanan merentasi Thale Waek mengambil masa kira-kira 10 minit. Ratusan pelancong turut kelihatan berjalan bersama keluarga dan pasangan masing-masing di laluan antara pulau itu sambil mengambil gambar untuk kenangan

Ada juga pelancong yang mengambil kesempatan untuk berjemur di bawah pancaran terik matahari selain berenang dan melakukan snorkeling di sekitar pulau.

Wilayah Krabi mempunyai pantai dan pulau yang menarik untuk dikunjungi dengan keluasannya 4,709 kilometer persegi menghadap lautan Andaman.

Selain tiga pulau berkenaan, ada beberapa lagi pulau popular untuk dikunjungi seperti Pulau Phi Phi, lokasi yang pernah menjadi tempat penggambaran filem The Beach lakonan Leonardo Di Caprio.

Tidak dilupakan Pulau James Bond, nama diberikan sempena filem ejen 007 itu ‘The Man With The Golden Gun’ yang turut menjalani penggambaran di pulau ini.

Nama wilayah ini sebagai salah satu destinasi percutian mungkin tidak sehebat Pulau Phuket, tetapi usaha keras kerajaan Thailand membangunkan Krabi ternyata membuahkan hasil dengan kehadiran puluhan ribu pelancong seluruh dunia kebelakangan ini.

Wilayah Krabi mempunyai lapan daerah iaitu Muang, bandar utamanya Kao Panom, Klong Tom, Plai Praya, Koh Lanta, Ao Luk, Lam Tap dan Neua Klong. Kira-kira 60 peratus penduduk di wilayah ini beragama Budhha dan selebihnya Islam.

Penulis dan rakan media serta krew AirAsia menginap di Hotel Krabi La Playa. Lokasi hotel juga berdekatan dengan pekan Ao Nang yang menempatkan banyak deretan kedai cendera mata dan restoran.

Menyewa motosikal menjadi antara perniagaan popular dijalankan penduduk di wilayah Krabi terutama di Ao Nang yang mengambil kesempatan kebanjiran pelancong yang mahu bersiar-siar di kawasan peranginan itu.

Harga ditawarkan berbeza-beza mengikut jenis motosikal dan caj bayaran paling murah pada sekitar 200 baht (RM20) untuk dua jam dan meningkat mengikut masa sewaan.

Penguat kuasaan undang-undang jalan raya di wilayah itu yang tidak ketat, selain penyewa tidak perlu menunjukkan lesen memandu menyebabkan penunggang motosikal di sini tidak memakai topi keledar.

See Tho yang juga pemilik See Tho Holiday berkata, kerajaan Thailand giat membangunkan Krabi sebagai destinasi pilihan selepas Phuket sejak lapan tahun lalu.

Katanya, usaha keras kerajaan kian berhasil dengan pertambahan pelancong ke sini setiap tahun. Malah, dengan lebih 130 pulau yang mengelilingi wilayah ini, kejadian tsunami yang berlaku pada penghujung 2006 dulu tidak begitu memberi kesan berikutan pulau yang ada bertindak sebagai penghadang kepada penduduk di daratan.

"Krabi tidak seperti Phuket yang terjejas teruk, namun kerajaan tetap mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mendirikan sistem amaran tsunami," katanya.

Hiburan waktu malam di sini tetap meriah walaupun kebanyakan kedai menjual cenderamata dan pakaian ditutup awal sekitar jam 9.30 malam, pelancong masih boleh meneruskan aktiviti malam di bar dan kelab malam yang dibuka sehingga jam 2 pagi.

AirAsia, peneraju penerbangan tambang murah Asia, memulakan penerbangan terus ke Krabi, satu daripada pusat pelancongan terkemuka di Thailand dengan tambang serendah RM59.99 dan tiga penerbangan seminggu menggunakan pesawat Airbus.

Naib Presiden Eksekutif (Komersial) AirAsia, Kathleen Tan, berkata perkhidmatan penerbangan terus ke Krabi itu memberi lebih pilihan kepada pelanggan syarikat dan ia dijangka menarik perhatian golongan muda serta keluarga yang ingin melancong terutama ketika cuti persekolahan yang bakal menjelang.

About these ads
This entry was posted in Travel. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s