NAT jamin darah bebas virus

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my


PENDERMA darah kadang kala tidak tahu mereka dijangkiti penyakit.

Kaedah lebih canggih mengesan jangkitan dalam darah terutama HIV, Hepatitis B

ANDA mungkin masih ingat beberapa kes kecuaian dalam prosedur pemindahan darah di hospital sehingga dibawa ke mahkamah. Kes-kes seperti itu memang wujud tetapi angkanya kecil berbanding jumlah penerima darah setiap hari di negara ini.

Pemindahan darah yang tidak dilakukan dengan prosedur keselamatan yang sempurna bukan saja menyebabkan penerima berhadapan dengan jangkitan HIV, malah hepatitis B (HBV) dan hepatitis C (HCV).

Pada peringkat global misalnya 2 bilion orang dikesan pernah dijangkiti hepatitis B (HBV) manakala 360 juta adalah pembawa HBV yang kronik. HBV juga menyebabkan 600,000 orang meninggal dunia setiap tahun disebabkan komplikasi seperti masalah hati yang kronik.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula merekodkan di seluruh dunia, 170 juta dijangkiti HCV manakala 40 juta dijangkiti HIV. Di Malaysia pula, setiap tahun satu peratus penderma darah didapati positif terhadap pelbagai jangkitan penyakit. Pada 2006 misalnya, 4,125 didapati positif dengan HBV, 739 (siplis), 655 (HCV) dan 123 (HIV).

Sebenarnya, sepanjang sejarah perbankan darah pelbagai usaha dibuat bagi mengurangkan kesilapan dan meningkatkan keselamatan penerima produk darah dan komponennya.

 

Pelbagai peraturan diperkenalkan bagi memastikan semua penderma disaring dan diuji dengan betul bagi menghalang ‘penghijrahan’ penyakit berjangkit daripada darah yang didermakan serta produk berasaskan darah.

Walaupun ujian saringan asas diwajibkan, perkembangan teknologi terbaru menawarkan kaedah lebih canggih bagi menyaring jangkitan dalam darah yang didermakan.

Antaranya ialah ujian amplifikasi asid nukleik (NAT). Ujian ini menggunakan teknologi yang mengesan genetik virus seperti HBV, HCV dan virus HIV. Teknologi ini mengesan kewujudan DNA dan RNA (molekul asid nukleik yang seakan sama dengan DNA) virus pada kuantiti terendah yang mungkin wujud dalam darah yang didermakan.

Justeru, ia membantu mengenalpasti jangkitan pada peringkat awal dan mampu menghalang jangkitan

kepada penerima. Bagi penderma ada kalanya mereka langsung tidak menyedari kewujudan virus dalam diri mereka jika tiada pemeriksaan lanjut. Jangkitan virus ini selalunya dipindahkan melalui pertukaran cecair badan seperti darah dan cecair vagina.

Dalam industri pendermaan dan penerimaan darah, walaupun Aids yang disebabkan virus HIV kekal sebagai jangkitan paling digeruni, hepatitis B sebenarnya lebih mudah dipindahkan dan lazimnya berlaku di Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad ketika melancarkan teknologi NAT, baru-baru ini, berkata teknologi ini sedang digunakan di Pusat Darah Negara bagi menyaring sampel darah yang didermakan di seluruh negara.

"Ujian ini bakal menentukan masa depan darah, produk berasaskan darah dan keselamatan bekalan darah untuk orang awam. Ia adalah detik bersejarah dalam perubatan pemindahan darah dan menyediakan bekalan darah yang lebih selamat untuk negara," katanya.

Katanya, isu keselamatan bekalan darah adalah keutamaan di Kementerian Kesihatan. Malah, ia ibarat tulang belakang dalam menyokong sistem penjagaan kesihatan masyarakat.

Sebagai contoh pada 1979, sebelum Aids muncul sebagai epidemik, satu polisi melatih sekumpulan penderma darah sukarela sudah dibentuk walaupun masih menerima pendermaan darah oleh orang awam lain.

"Darah yang didermakan oleh kumpulan penderma sukarela ini lebih selamat dan kurang risiko jangkitan penyakit," katanya.

Dr Latiff berkata, di Pusat Darah Negara, darah diproses mengikut standard antarabangsa yang diterima pakai oleh Majlis Eropah, WHO, Persatuan Bank Darah Amerika selain Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika (FDA).

"Keutamaan kita adalah memastikan ketepatan dan keselamatan tahap darah itu membantu bukan saja pesakit tetapi penderma," katanya.

Pada 2006 saja, seramai 477,365 orang menderma darah manakala 253,968 lagi adalah penerima. Ketika ini Kementerian Kesihatan memiliki 114 bank darah di seluruh negara. Jumlah itu seiring dengan peningkatan kesedaran orang awam terhadap kepentingan menderma darah. Pada 1992 misalnya, 202,241 unit darah dikumpulkan manakala untuk tahun lalu, 477, 365 unit darah direkodkan.

Info: NAT

  • Ujian terkini dalam mengesan kewujudan DNA dan RNA virus yang mungkin wujud dalam darah yang didermakan. Ia sangat sensitif dan spesifik.
  • Ia membantu diagnosis jangkitan pada tahap awal dan berupaya menghalang jangkitan dipindahkan kepada penerima.
  • NAT membantu mengurangkan kes jangkitan HBV, HCV dan HIV.

  • This entry was posted in Diagnosis. Bookmark the permalink.

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s