Bukit Besi kembali popular

Oleh Suhana Roslan


CANTIK Tasik Bukit Puteri mampu memberi ketenangan kepada pelancong.

Pelbagai tarikan diwujudkan di sekitar kawasan bekas lombong tinggal seperti pembinaan UiTM, galeri, taman rekreasi dan sukan ekstrem

LOMBONG bijih besi yang dijumpai di Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada 1916 oleh Ahli Kajibumi Jepun, Kuhara menjadikan kawasan itu terkenal sehingga ke luar negara.

Penemuan hasil galian itu menjadikan tempat berkenaan bukan saja dikenali, malah jumlah penduduk juga meningkat sehingga 6,000 orang termasuk 3,000 pekerja yang bekerja di lombong berkenaan.

Bagaimanapun, permintaan yang kurang terhadap galian itu menyebabkan keputusan muktamad dibuat untuk menutup lombong bijih besi pada 1 Oktober 1970.

Kawasan berkenaan pernah diusahakan kerajaan negeri sebagai produk pelancongan bagi memperkenalkan tempat bersejarah itu dengan menyediakan beberapa kemudahan tetapi agak malap kerana dipercayai kurang promosi.

Menyedari kawasan yang terletak 33 kilometer dari bandar Dungun dan 77 Kilometer dari Kuala Terengganu itu kaya dengan keindahan alam semula kadi dan berpotensi menjadi destinasi pilihan pelancong, beberapa projek termasuk penganjuran acara antarabangsa akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Antara projek mega yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mana peletakan batu asasnya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.

Pembinaan kampus berkenaan akan menjadikan Bukit Besi sebagai pusat kecemerlangan akademik sekali gus menukar kawasan itu daripada suram, berkembang menjadi kawasan membangun.

Bagi pelancong pula, mereka yang bertandang ke Bukit Besi boleh singgah ke Rumah Nombor 1 iaitu bekas rumah Pengurus Lombong Bukit Besi yang bakal dijadikan Galeri Bukit Besi.

Galeri itu yang ditempatkan sementara di Pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di sini, akan dibina semula dalam bentuk asal untuk mengekalkan kesan sejarah yang dikumpulkan sebagai tatapan kepada pengunjung bagi mendapatkan maklumat mengenai sejarah pembukaan Bukit Besi.

Galeri sementara itu dibuka kepada orang ramai dan antara bahan yang dipamerkan adalah maklumat, sejarah, peta, carta, foto, contoh penemuan batu dan peralatan menguji kandungan bijih besi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Din Adam, berkata pelbagai tarikan akan diwujudkan di kawasan itu dan pembinaan UiTM adalah langkah pertama peralihan keceriaan di tempat berkenaan.

Beliau berkata, Tasik Bukit Puteri yang masih belum dicemari dengan arus pembangunan akan dihidupkan semula menjadi taman rekreasi dan akan diperkenalkan sebagai salah satu tempat wajib singgah kepada mereka yang inginkan ketenangan selepas penat bekerja di bandar.

Katanya, aktiviti air akan diwujudkan di tasik berkenaan antaranya berkayak bagi memberikan impak yang lebih positif dalam memperkenalkan keindahan alam semula jadi itu kepada orang ramai terutama pelancong luar.

"Sebagai permulaan dalam mengetengahkan sukan berkayak, Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 yang bakal berlangsung pada 29 Mei depan, menyaksikan lebih 120 atlit akan berkampung di kawasan itu untuk sukan berkayak sekali gus mempromosikan Tasik Puteri seiring dengan sukan ekstrem berkenaan.

"Bagaimanapun, kita akan pastikan kemudahan sedia ada seperti tandas, restoran dan surau akan dibaik pulih agar semua pihak boleh menikmati kesegaran dan keindahan tasik dengan selesa," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, berkata acara itu akan menjana pendapatan penduduk kampung kerana mereka berpeluang berniaga secara kecil-kecilan malah mungkin akan diambil sebagai kakitangan untuk berkhidmat di UiTM berkenaan.

Tidak mustahil Tasik Bukit Puteri suatu hari nanti akan disenaraikan semula dalam destinasi pelancongan Terengganu dan dijadikan sebagai lokasi wajib singgah sekiranya tempat itu diberikan perhatian khusus dan promosi secara berterusan.

Bagaimana ke sana?

Pengunjung dari Kuala Lumpur yang memandu sendiri boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan masuk ke Jalan Jerangau-Jabor sebelum menuju ke bandar Al-Muktaffi Billah Shah, Dungun.

FAKTA: Bukit Besi

  • 3 Februari peletakan batu asas UiTM Bukit Besi
  • Festival Air 1 dan 2 November 2008
  • Sukan berkayak di Tasik Puteri
  • 3,000 penduduk di Bukit Besi
  • 120 atlit sukan berkayak berkampung untuk Sukma
  • Berhampiran Padang Golf Tasik Puteri
  • Kebanyakan penduduk bekerja di kilang papan
This entry was posted in Travel. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s