Diabetes potong kaki pilihan terakhir pesakit

Oleh Hafizah Iszahanid


Luka, ulser serius boleh menyebabkan komplikasi serangan jantung, jangkitan kumanLUKA yang terjadi di kaki pesakit diabetes, selalunya akan terlajak menjadi kecederaan yang besar dan akhirnya memaksa doktor memotong kaki pesakit terbabit. Bunyinya memang mengerikan dan kebanyakan orang tidak mahu kehilangan kaki, walaupun kaki itu tidak lagi sempurna.

Oleh kerana tidak mahu dipotong, pesakit akan mencari rawatan lain. Bagaimanapun, mereka akhirnya meninggal dunia kerana komplikasi diabetes (seperti serangan jantung) dan jangkitan kuman tidak lama selepas itu.

Pemotongan kaki (amputation) selalunya menjadi pilihan terakhir dalam merawat pesakit. Doktor biasanya akan mencuba pelbagai rawatan yang sesuai untuk menyelamatkan kaki daripada dipotong berdasarkan keadaan kesihatan pesakit. Antaranya, melakukan pembedahan pintasan saluran darah pada kaki atau prosedur angioplasti (membesarkan salur darah).

Pakar Bedah Salur Darah, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Mazri Yahya, berkata 15 peratus pesakit diabetes akan mendapat luka atau ulser pada kaki sepanjang kehidupan mereka. Luka itu akan menjadi lebih serius sekiranya tidak diberi rawatan awal.

"Lebih kurang 10 peratus pesakit diabetes tidak mempunyai pilihan rawatan lain selain kaki dipotong. Malah, di seluruh dunia, pesakit diabetis akan kehilangan kaki pada setiap 30 saat," katanya.

Dr Mazri berkata, masalah kaki diabetes selalunya dikaitkan dengan PAD (peripheral arterial disease) iaitu penyempitan arteri pada kaki yang mengurangkan jumlah aliran darah.

Walaupun ia boleh juga terjadi di kalangan mereka yang bebas diabetes, tetapi PAD lebih kerap dilihat pada mereka yang diserang diabetes. Keadaan lebih teruk jika pesakit juga merokok, kandungan kolesterol yang tinggi, obesiti, darah tinggi dan menghidap penyakit buah pinggang.

Katanya, walaupun diabetes boleh menjejaskan saluran darah kecil dan besar (dikenali sebagai penyakit makrovaskular dan mikrovaskular), PAD selalunya merujuk pada penyekatan pada arteri besar pada kaki yang menyebabkan masalah klinikal.

"Majoriti pesakit PAD biasanya tidak tahu mereka mengalami masalah itu. Ini kerana hampir 50 peratus pesakit tidak berhadapan dengan sebarang simptom," katanya.

Pesakit hanya tahu mereka berhadapan dengan PAD apabila berasa penat pada betis atau paha ketika berjalan dalam jarak tertentu. Kepenatan ini akan memaksa pesakit berehat beberapa minit untuk melegakan kesakitan sebelum menyambung semula perjalanan.

Dr Mazri berkata, keadaan itu disebabkan bertambahnya permintaan darah oleh otot kaki ketika berjalan. Bagaimanapun, pada masa yang sama bekalan darah tidak mencukupi disebabkan penyempitan saluran darah.

Simptom ini akan menjadi bertambah teruk dan akhirnya akan mengganggu kehidupan pesakit. Lama kelamaan, keupayaannya untuk berjalan semakin terhad. Malah, apabila keadaan semakin teruk bergerak beberapa langkah pun boleh mengundang kesakitan.

PAD yang lebih serius dan kritikal berlaku apabila pesakit berasa sakit pada hujung kaki walaupun dalam keadaan rehat atau luka atau gangrene mula kelihatan. Kesakitannya terasa seakan menekan dan sukar untuk lega.

Selalunya kaki yang terjejas akan berwarna unggu (seakan lebam) dan sejuk apabila disentuh. Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya tahu masalah arteri tersumbat apabila terjadi luka atau gangrene pada kaki.

"Ulser pada kaki sebenarnya memerlukan darah yang mencukupi untuk sembuh. Jika salur darah tersumbat atau menyempit maka luka tidak akan mendapat bekalan darah yang diharapkan dan ini akan melambatkan proses penyembuhan luka.

"Sekiranya terlalu sedikit bekalan darah, penyembuhan adalah hampir mustahil. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan bekalan darah," katanya.

Sebelum rawatan diberikan, beberapa ujian imbasan dibuat bagi menentukan kesesuaian cara rawatan. Sekiranya penyempitan saluran darah pendek, angioplasti adalah rawatan yang terbaik. Angioplasti membabitkan prosedur pembesaran salur darah menggunakan belon angioplasty.

"Jika penyempitan atau penyumbatan salur darahnya panjang, pembedahan pintasan saluran darah adalah cara yang sangat berkesan.

"Biasanya saluran darah vena pesakit digunakan sebagai saluran pintasan baru. Bagaimanapun, jika semua salur darah tersumbat dan tidak boleh dipulihkan, memotong kaki yang rosak adalah cara terbaik bagi mencegah jangkitan kuman," katanya.

Pembedahan pintasan salur darah

Pembedahan pintasan salur darah bukanlah boleh dilakukan kepada semua pesakit diabetes. Ada beberapa

berkara yang perlu diambil kira. Antaranya pesakit memiliki salur darah pada kaki (vena) yang baik dan terdapat saluran darah arteri yang paten terutama pada buku lali. Jika tiada salur darah arteri yang sesuai, sukar untuk dibuat pintasan dan selalunya pembedahan pintasan itu akan berakhir dengan kegagalan.

Rawatan angioplasti adalah cara yang sangat digalakkan bagi penyempitan salur darah yang kurang daripada tiga sentimeter (sm). Jika salur darah yang tersumbat berukuran antara 3 hingga 5sm, angioplasti atau pembedahan pintasan boleh dilakukan.

Bagaimanapun, jika penyempitan yang melebihi 5sm, pembedahan pintasan adalah cara yang terbaik.

Selepas pembedahan pintasan dibuat, ada beberapa cara rawatan tambahan boleh dilakukan untuk mempercepatkan proses penyembuhan. Ini termasuk penggunaan terapi oksigen hiperbarik. Ia digunakan untuk menambah ketepuan oksigen pada tisu dan seterusnya membantu penyembuhan luka.

FAKTA: Pembuluh darah sempit

  • 30 peratus mereka yang menderita PAD selalunya ada penyakit arteri koronari
  • Daripada 100 orang yang diserang PAD, 16 peratus akan berasa makin lama makin teruk
  • 7 peratus memerlukan pintasan salur darah
  • 4 peratus perlukan pemotongan kaki
This entry was posted in Diagnosis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s