Pelantikan Menteri Besar kuasa sebenar raja

18/03/2008

Pelantikan Menteri Besar kuasa sebenar raja

Oleh ZULKIFLI JALIL

KALI terakhir kedudukan survival Ketua Menteri dan Menteri Besar sesebuah negeri diuji ialah 42 tahun lepas dalam kes Stephen Kalong Ningkan pada 1966.

Ketika itu, Ketua Menteri Sarawak tersebut menghadapi saat-saat genting untuk dilucutkan jawatan yang disandangnya pada 1963 atas sebab-sebab keselamatan dan gelora politik Bumi Kenyalang.

Apabila kes itu disebut, mahkamah memutuskan bahawa pelucutan jawatan bergantung kepada sama ada beliau mewakili perwakilan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Akhirnya, diputuskan oleh mahkamah bahawa beliau hilang majoriti dan populariti. Yakni, dalam kes ini, perkataan majoriti diuji menerusi kuasa Gabenor dalam menentukan perwakilan teramai dalam DUN Sarawak.

Kes Stephen Kalong Ningkan yang merujuk kuasa Gabenor – ketua negeri di negeri tidak beraja/bersultan – dalam menentukan kedudukan Ketua Menteri lebih kurang sama dengan kuasa Sultan dan Raja di negeri beraja melantik Menteri Besar.

Cuma dalam kes di Perlis yang menjadi isu beberapa hari lalu, perkataan majoriti itu diasaskan oleh Raja setelah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim hilang sokongan daripada beberapa ahli DUN negeri itu. Justeru, majoriti tidak dibilang dalam DUN.

Namun, hakikatnya kuasa Raja di Perlis sebenarnya lebih unik berbanding negeri-negeri lain.

‘‘Baginda boleh mengetepikan peruntukan perlembagaan negeri. Sekalipun pihak berkenaan menerima sokongan majoriti namun jika baginda berpendapat seseorang itu layak pada pandangannya, maka pelantikan Datuk Dr. Md. Isa Sabu adalah sah.

‘‘Dan akhirnya tidak ada mana-mana surat atau watikah yang boleh mengatasi Perkara 39 Perlembagaan Perlis,” kata pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kemelut pelantikan Menteri Besar di Perlis dan Terengganu minggu lalu sehingga wujud desas desus ia ada kaitan dengan campur tangan Raja dan Sultan di negeri berkenaan.

Dalam konteks ini, Rais menyangkal keras persepsi mengenai elemen ‘campur tangan’ tersebut.

‘‘Memang ada laporan menyatakan kononnya Raja campur tangan dalam urusan pelantikan Md. Isa tetapi saya ingin tegaskan di sini kenyataan itu tidak betul sama sekali,” katanya.

Kuasa Raja di negara itu sebenarnya besar. Ia dicernakan menerusi kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Perdana Menteri, membubarkan Parlimen serta untuk mengisi tuntutan-tuntutan hak diraja serta hak keislaman yang dijamin oleh Perlembagaan. Rumusannya.

Seri Paduka berkuasa penuh sama ada untuk melantik atau tidak Perdana Menteri kerana ia diperuntukkan oleh Perlembagaan.

‘‘Tetapi apabila Perdana Menteri telah dilantik, maka Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut nasihatnya. Jadi, tidak timbul soal Raja campur tangan dalam urusan pelantikan Menteri Besar,” katanya.

Md. Isa telah menerima sokongan majoriti, iaitu lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengatasi Shahidan yang hanya disokong oleh lima ADUN.

‘‘Kedudukan di Perlis agak istimewa. Rajanya boleh ketepikan perlembagaan negeri malah pelantikan seseorang Menteri Besar itu adalah penilaian subjektif baginda,” kata Rais.

Kuasa Sultan juga mengatasi dakwaan DAP di Perak yang mencanangkan wakil daripada parti itulah yang sepatutnya dilantik Menteri Besar berdasarkan majoriti 18 kerusi DUN yang diraihnya pada Pilihan Raya Umum ke-12.

DAP mulanya membantah penyandang jawatan daripada Pas, Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, yang partinya hanya memperoleh enam kerusi.

Realitinya, peranan Raja dan Sultan memberi perimbangan yang baik apabila wujud situasi kuasa politik ‘berleluasa’ dalam diri seseorang. Pada tahap ini, Raja menggunakan segala budi bicaranya.

This entry was posted in News and politics. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s