Anugerah Bintang Paling Popular milik Mawi

Anugerah Bintang Paling Popular milik Mawi

Oleh Akmal Abdullah


JADI PILIHAN: Mawi ceria bersama trofi Bintang Paling Popular dan Penyanyi Lelaki Popular yang dimenanginya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007

GENTING HIGHLANDS: Penyanyi popular, Asmawi Ani atau Mawi mencipta hatrik apabila sekali lagi dinobatkan oleh pembaca akhbar ini sebagai Bintang Paling Popular pada majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, yang berlangsung di sini, malam tadi.

Mawi, 26, yang meraih 119,268 undi, memenangi gelaran itu untuk tahun ketiga berturut-turut selepas mengetepikan saingan kelompok empat artis yang mendapat undi tertinggi iaitu Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza, Saiful Apek dan Aznil Nawawi.

Bagaimanapun, jumlah undi yang diperoleh Mawi kali ini merosot berbanding 261,555 undi yang diraihnya musim lalu bagi anugerah tertinggi itu.

Berikutan kemenangan itu, Mawi membawa pulang kereta Peugeot 407 (2.0) berharga RM185,000 tajaan Nasim Sdn Bhd serta set barang kemas eksklusif tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM150,000, selain trofi.

Mawi turut dipilih memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular, juga kali ketiga berturut-turut selepas mengetepikan Faizal, Anuar Zain, Hazami dan Adam.

Trofi Bintang Paling Popular 2007 disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, pada majlis kemuncak ABPBH 2007 yang berlangsung di Arena of Stars, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.

Majlis gilang-gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM. Lebih 5,000 penonton hadir mengikuti acara berkenaan yang berlangsung semalam lebih dua setengah jam.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada seniman M Nasir sebagai mengiktiraf sumbangan besarnya dalam bidang muzik dan perfileman sepanjang pembabitannya sebagai anak seni selama lebih tiga dekad.

Sementara itu, juruhebah radio Hot FM yang juga pengacara rancangan Melodi TV3, Fara Fauzana mencipta kejutan apabila meraih dua kemenangan sekali gus iaitu masing-masing bagi kategori Pengacara TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular.

Siti Nurhaliza berjaya mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-11 berturut-turut apabila menang gelaran itu selepas mengetepikan Jaclyn Victor, Mila, Misha Omar dan Adibah Noor.

Beliau mempertahankan gelarannya sejak ABPBH 1997.

Fasha Sandha dan Rusdi Ramli membuat kejutan apabila masing-masing terpilih sebagai pemenang Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular. Fasha mengetepikan saingan terdekatnya, Maya Karin selain Erra Fazira, Vanidah Imran dan Sharifah Amani.

Rusdi yang menang buat kali pertama kategori itu mengetepikan pemenang tahun lalu, Saiful Apek, selain Rosyam Nor, Afdlin Shauki dan Pierre Andre.

Bagaimanapun, Fasha gagal mempertahankan gelaran Pelakon TV Wanita Popular apabila trofi kategori itu dimenangi muka baru, Dynaz yang truut mengetepikan Rita Rudaini, Rozita Che Wan dan Eja.

Saiful Apek mempertahankan kejayaan dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular, manakala kategori Artis Komedi Wanita Popular terus dipertahankan Sheila Rusly.

Rosyam Nor berjaya mengekalkan kemenangannya dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular apabila dengan mudah menyingkirkan empat saingannya di peringkat akhir iaitu Fahrin Ahmad, Aaron Aziz, Datuk Jalaludin Hassan dan Arash Mohamad.

Kumpulan Rabbani turut mengekalkan reputasinya apabila meraih kemenangan dalam kategori Penyanyi Nasyid Popular buat tahun keenam berturut-turut, manakala bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular masing-masing dimenangi bintang Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Dafi dan Mila.

Faizal Ismail merampas trofi Penyampai Radio Lelaki Popular yang sebelum ini didominasi Halim Othman. Nama Halim tidak tersenarai dalam pertandingan kali ini.

Kumpulan Sofaz menang kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular, manakala Aznil mempertahankan buat kali keempat kategori Pengacara TV Lelaki Popular.

ABPBH 2007 ialah edisi ke-21 penganjurannya oleh Berita Harian, iaitu acara yang menggabungkan penganugerahan berdasarkan undian peminat untuk artis dan selebriti yang terbabit dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran. Lebih 400,000 borang diterima penganjur dalam kempen undian musim ini.

This entry was posted in Entertainment. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s