Bandar Syurga China

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my


Kota diisytihar Bandar Taman Antarabangsa tahun lalu, kaya keindahan alam semula jadi yang memukau

JIKA berkesempatan ke China, jangan lupa singgah di Hangzhou, bandar bersejarah berjiran dengan kota kosmopolitan Shanghai yang pastinya menjanjikan 1,001 kenangan manis untuk dibawa pulang.

Hangzhou yang menjadi nadi utama industri pelancongan China turut terkenal dengan jolokan `Bandar Syurga China’ serta masih dilitupi kehijauan semula jadi pelbagai jenis pokok dan tanaman di setiap sudutnya.

 

Elemen kebersihan begitu ketara sekali di bandar ini yang terserlah sebaik kaki melangkah keluar dari pesawat di lapangan terbang antarabangsanya.

Mudah kata, bandar ini amat mementingkan kebersihan alam sekitar sehingga lebih 50,000 pokok ditanam di sekitarnya sambil diselitkan kombinasi unsur seni bina tradisional dan bangunan moden serta canggih.

Penulis yang pertama kali menjejakkan kaki di bandar itu atas tajaan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X, terpegun melihat keadaan persekitaran Hangzhou yang mempunyai pemandangan amat menarik.

 

Bandar itu yang terletak di kawasan hutan hujan tropika, mengalami empat musim di mana musim panasnya membawa hujan lebat di antara Jun hingga Julai.

Hangzhou mempunyai pelbagai tempat menarik untuk pelancong seperti West Lake, Pagoda Lei Feng, Muzium Tradisional China, Muzium Teh, Muzium Sutera, Tasik Naga Putih dan Tokong Lingyin.

Muzium Sutera terletak di Jalan Yahuangsha, dipercayai yang terbesar di dunia mempamerkan koleksi sutera melalui lapan dewan pameran yang menceritakan sejarah sutera dari semua aspek.

Bersama sembilan rakan media dari Malaysia, penulis turut berpeluang mengunjungi Masjid Phoenix di Jalan Zhong Shan Zhong yang dibina pada zaman Dinasti Qing.

PENULIS (dua dari kiri) bersama rakan media yang melawat Hangzhou.

Masjid berkenaan kini dalam proses pembaikan dan pembesaran melalui peruntukan RM8 juta yang disalurkan Kerajaan China untuk manfaat kira-kira 10,000 umat Islam yang difahamkan bermastautin di situ.

Selesai melawat masjid, kami dibawa melihat keindahan West Lake yang terkenal dengan cerita legenda wanita ular putih, tetapi yang menarik perhatian ialah kebersihan tasik berkenaan.

Pelancong boleh mengelilingi tasik ini dengan bot yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menikmati pemandangan air yang tenang sambil menghirup udara sejuk yang pasti menjanjikan pengalaman sungguh menyeronokkan.

Pada waktu malam, kami dibawa melihat persembahan muzikal mengkisahkan sejarah mitos wanita ular putih dan bandar Hangzhou, terbitan pengarah filem terkenal China, Zhang Yimou.

Persembahan yang bermula jam 7.30 malam waktu tempatan itu, amat menarik kerana pentasnya terletak di atas air pada jarak kira-kira 60 meter dari ruang penonton dengan udara segar dari cuaca sederhana pada malam itu tambah mengasyikkan suasana.

Penulis juga berpeluang mengunjungi Muzium Teh China yang mempamerkan sejarah tumbuhan itu dan mencuba pelbagai jenis minuman yang disajikan selepas diberitahu khasiat teh keluaran Hangzhou amat baik untuk kesihatan serta berkualiti tinggi.

Aktiviti waktu pagi diisi dengan bersiar-siar di sekitar bandar Hangzhou dan sekali lagi kami terpaku melihat kebersihan jalan raya di situ walaupun suasananya amat sibuk dengan jumlah kenderaan yang tidak putus-putus.

Tidak menghairankan apabila penulis dimaklumkan oleh seorang rakan dari Pejabat Suruhanjaya Pelancongan Hangzhou yang bandar itu beberapa kali menerima anugerah daripada kerajaan republik berkenaan.

Antara anugerah yang diterima dan paling membanggakan ialah pengiktirafan Hangzhou sebagai ‘Bandar Taman Antarabangsa’ pada 2008.

Tarikan dan keindahan Hangzhou menyebabkan kunjungan pelancong asing dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun dengan tahun lalu saja mencatatkan kemasukan 17 juta pelancong luar negara berbanding 14 juta pada 2007.

Antara Januari hingga Mei lalu pula, hampir 700,000 pelancong sudah melawat Hangzhou, termasuk dari Malaysia berdasarkan langganan menggalakkan diterima AirAsia X yang memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke bandar itu, tahun lalu.

Tempoh hampir seminggu berada bandar ini memberikan pengalaman amat bermakna kepada penulis yang kali pertama berpeluang ke tanah besar China walaupun pada kebanyakan masa di sana, perut yang lapar hanya diisi mi segera.

Info
Hangzhou

  • Ibu negeri Wilayah Zheijian
  • Terletak di selatan Delta Sungai Yangtze
  • Mempunyai lebih empat juta penduduk

    Cara ke sana

  • AirAsia X menyediakan penerbangan terus lima kali seminggu dari Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang.
  • This entry was posted in Travel. Bookmark the permalink.

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s