Evolusi kaca mata

Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my


RINGKAS dengan bingkai yang boleh bertukar-tukar jenis dan warna daripada alain Mikli.

KACA mata atau cermin mata bukan saja berfungsi meningkatkan penglihatan, sebaliknya sebagai pelengkap gaya. Namun, ada kalanya bagi mereka yang benar-benar bergantung kepada pemakaian cermin mata untuk melihat, berpendapat tidak perlu untuk membeli kaca mata yang bergaya.

Hakikatnya, pemilihan kaca mata bukan sekadar membantu penglihatan, sebaliknya rekaan turut membantu menyerlahkan penampilan seseorang. Tidak hairan, sejak kaca mata diperkenalkan sejak ratusan tahun dulu, produk berkenaan sudah mengalami pelbagai perubahan menarik, bukan saja pada reka bentuknya, bahkan penciptaan lensa itu sendiri.

Ratu minggu ini mengungkap sejarah pengenalan cermin mata sehingga menjadi permintaan tinggi hari ini.

Teknologi pembuatan kaca mata: Reka bentuk, fungsi main peranan dalam perubahan rekaan

SETIAP apa yang wujud di muka bumi ini sudah pasti ada penciptanya. Siapa, bila dan bagaimana sesuatu benda itu ditemui menjadi titik permulaan, sekali gus mengukir sejarah. Begitu juga dengan penemuan kaca mata.

Beberapa laman web seperti shvoong.com, lembar-lembar.blogspot.com dan beberapa laman web lagi tidak lokek berkongsi maklumat dengan memaparkan sejarah mengenai penemuan kaca mata yang jarang sekali diambil tahu kebanyakan orang.

 
Dari kiri, Mok, raffoul dan liaw memotong reben sebagai acara pembukaan rasmi kedai Opulence yang membawa produk alain Mikli di Sunway pyramid, baru-baru ini.

‘Alah membeli menang memakai’, itulah ungkapan sesuai bagi kita yang gemar bertukar koleksi kaca mata baik yang biasa mahupun gelap atau melindungi mata daripada terik cahaya matahari. Tambahan pula banyak pula koleksi terbaru dengan reka bentuk yang pelbagai mengikut trend terkini mendorong anak muda menggayakan tanpa mengetahui titik sejarahnya.

Sejarah penemuan teknologi kaca mata tertua dikatakan dimiliki masyarakat di kota kuno Niniwe. Mereka mengenal kaca mata, yang sebenarnya berfungsi sebagai kaca pembesar dengan lensa menggunakan kristal.

Masyarakat Yunani kuno pula mempunyai kaca pembesar dengan bola kaca berisi air. Ketika abad ke-12, kaca pembesar daripada kuarsa dipasang pada bingkai dan muncul di kalangan masyarakat China dan Eropah.

Pada ketika itu, mereka melihat lensa menerusi kaca mata memberi banyak manfaatnya, terutama yang mengalami masalah penglihatan, seperti rabun jauh dan dekat.

EVOlUSi cermin mata pada awalnya menggunakan kayu sebagai bahan kajian.

Maka, pada 1268, tokoh ilmuwan dan pendidikan kebangsaan Inggeris, Roger Bacon, berpendapat lensa diperlukan sebagai peralatan optik lalu melahirkan kaca mata. Namun, ketika itu tidak semua dapat menerima hakikat bahawa Bacon adalah orang pertama mencetus idea melahirkan kaca mata. Malah, mereka menganggap kaca mata wujud dari Itali pada 1286.

Dalam waktu singkat iaitu pada 1300-an, kaca mata mulai dikeluarkan secara komersial dengan pusat pembuatannya di Venesia. Akan tetapi, kaca mata ketika itu tidak seperti sekarang kerana kualiti lensa lebih sederhana dan direka dengan dua lensa bersambung tanpa tangkai. Ia dihasilkan khusus untuk membaca di kalangan mereka yang mengalami gangguan rabun.

Jenis demi jenis kaca mata dihasilkan dan bermacam percubaan dilakukan untuk menemui cara terbaik mengenakan kaca mata. Ada yang memasang lempengan logam panjang daripada batang hidung hingga ke bahagian tengah kepala dan turun ke bahagian leher, tetapi memandangkan pemasangannya rumit dan tidak praktikal, kaca mata gaya itu tidak diminati.

Model lain diperkenalkan selepas itu ialah rantai tali halus dipasang pada kedua sisi kaca mata dan diikat pada bahagian belakang kepala. Ada juga yang mengikat rantai berkenaan pada topi. Namun, hasil berkenaan masih dilihat sebagai rekaan yang tidak praktikal.

Bertitik tolak kepada konsep cuba dan lihat, maka tangkai pada bingkai kaca mata dipasang, sehingga terletak pada telinga. Perkembangan selanjutnya berhasil dengan penemuan kaca mata yang boleh fokus untuk jarak jauh dan dekat dipanggil bifokus. Ia sekali gus menghasilkan lensa cembung dan lensa cekung secara berasingan pada satu bingkai.

Pada 1784, kaca mata bifokus pertama di dunia dihasilkan penulis merangkap ilmuwan Amerika dikenali sebagai Benjamin Franklin. Alat optik berkenaan lebih selesa dan memudahkan aktiviti seperti perjalanan, pada masa sama boleh menikmati pemandangan dan membaca. Franklin dikatakan berjaya memisahkan kanta cembung dan cekung serta memotong secara horizontal kemudian dikepit bingkai.

Beberapa dekat lalu, pilihan lensa semakin pelbagai ragam sehingga diperkenalkan lensa daripada plastik. Pada 1888 di Perancis, kanta sentuh pertama diperkenalkan sebagai alat kesihatan bagi yang mengalami gangguan pandangan. Namun, lensa itu hanya dipakai beberapa orang, secara terpaksa.

Sehingga penemuan terakhir iaitu pada 1938, kanta sentuh plastik mula diperkenalkan yang hanya boleh menutupi bahagian kornea mata. Lensa berkenaan kini semakin digemari pelbagai peringkat usia kerana memudahkan pergerakan harian tambahan pula lebih selesa dan tidak meletihkan.

Pada masa itu, ketika sibuk menghasilkan kaca mata dan semakin ramai yang bijak menghasilkan kaca mata, banyak juga mencuri peluang menghasilkan kaca mata hitam sebagai pelindung mata daripada cahaya ultra lembayung (UV). Malah, kini kaca mata hitam semakin menjadi kemestian dalam koleksi almari, malah dijadikan sebagai penambah gaya dengan rekaan bingkai cermin yang bermacam gaya.

Koleksi terkini Alain Mikli

PENGEDAR pelbagai koleksi kaca mata, Focus Point Sdn Bhd, antara syarikat proaktif menawarkan koleksi kaca mata berkualiti hari ini, termasuk jenama Alain Mikli. Jenama yang sudah bergelumang dalam industri itu sejak 30 tahun lalu itu, menampilkan koleksi lebih menarik tetapi masih mengekalkan gaya tersendiri.

Ditubuhkan sejak awal 1980-an dengan konsep eksklusifnya, kali ini Alain Mikli memperbaharui dari segi konsep, warna dan memperbanyakkan pilihan untuk penggemar kaca mata. Koleksi itu ditawarkan di kedai Opulence di Sunway Pyramid.

Pengurus Besar Asia Pasifik, Alain Mikli, Raymond Mok, berkata konsep Alain Mikli masih sama, cuma memperbaharui reka dan warna, selain memperhebatkan gaya, namun tetap mengekalkan ciri tradisionalnya.

“Kedai Opulence menyediakan banyak pilihan bagi pelanggan yang gemar bertukar koleksi cermin mata. Malah, ia juga sesuai untuk semua peringkat golongan terutama ahli korporat yang mementingkan gaya dan identiti tersendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan butik Opulence, Sunway Pyramid, baru-baru ini

Majlis perasmian dilakukan dengan pemotongan reben oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point Vision Care Group Sdn Bhd, Datuk Sentiliter Liaw, dan Duta jenama, Lucie Raffoul sebagai acara pembukaan rasmi. Acara itu turut menyaksikan koleksi Gold terhad Alain Mikli bernilai 6800 Euros.

Antara koleksi terbaru Alain Mikli ialah bingkai siap dipakai yang menawarkan bingkai pelbagai jenis corak seperti belang dan jalur pelbagai warna menarik. Koleksi lain ialah The Alain Mikli Bijoux, The 80’s Collection, Patrimony, 80/08 Collectors dan Passion for Titanium Semua koleksi Alain Mikli boleh didapati di Opulence pada harga antara RM1,000 ke atas.

INFO: Panduan pemilihan kaca mata bersesuaian:

  • Pastikan gaya rambut bersesuaian dengan cermin mata.
  • Warna rambut hitam lebih mudah mengenakan apa saja warna bingkai cermin mata.
  • Bentuk kepala menjadi peranan penting dalam menentukan bingkai cermin mata sesuai .
  • Jangan sesekali memilih cermin mata yang menutupi kening walaupun bentuk segi empat besar atau bulat.

    Memilih cermin mata sesuai dan jenis kepala/wajah:

  • Muka bulat (wajah bentuk bulat, mempunyai rahang melengkung, berwajah penuh serta dagu dan pipi bulat)
    – Elak daripada memilih bingkai bulat atau lonjong kerana ia menonjolkan wajah anda lebih bulat
    – Pilih cermin mata yang boleh menonjolkan perbezaan.
    – Pilih kaca mata berbentuk segi empat sama atau panjang, tetapi berlensa besar.
    – Jangan pilih terlalu kecil kerana ia membuatkan mata anda tampak lebih kecil.
  • Muka petak (wajah empat segi dengan rahang petak)

  • – Pilih bingkai kaca mata bentuk bulat atau bujur.

  • Muka bujur (wajah bujur atau lonjong):
    – Anda bertuah kerana boleh mengenakan apa juga bentuk kaca mata.
    – Pilih bingkai bulat dan empat segi.
    – Terbaik, pilih kaca mata berbentuk empat segi, tetapi tidak begitu berpetak.
  • Muka segi tiga
    – Pilih kaca mata bulat untuk memberi keseimbangan.
    – Lebih bulat lebih baik.
  • Muka bentuk hati
    – Pilih bentuk bingkai kaca mata jenis bujur
    – Bingkai yang lebih lembut akan menyeimbangkan bentuk wajah anda.

    – Bingkai empat segi yang besar masih boleh digayakan.

  • This entry was posted in Ratu. Bookmark the permalink.

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s